![]() |
Illustrasi Uwaisal-Qarni dan ibunya |
Uwais Al-Qarni adalah seorang pemuda miskin yang tidak dikenali dikalangan orang kebanyakkan ketika itu dan pemuda ini hidup di zaman Rasulullah ﷺ namun tidak pernah bertemu baginda. Walaubagaimanapun,mengikut sesetengah pendapat mengatakan Uwais juga tergolong sebagai sahabat Rasulullah walaupun tidak pernah bersua..ini kerana Uwais sangat2 berhajat menemui Rasulullah, namun ketaatan menjaga ibunya yang sudah uzur menyebabkan Uwais terpaksa memendamkan hasrat di hati.
Uwais al-Qarni hanya tinggal bersama
seorang ibu yang sudah tua, buta dan lumpuh. Malah, ibu tua itu cuma bergantung
harap pada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka dua
beranak meneruskan kehidupan tanpa ada sanak saudara. Tatkala ibunya memerlukan
bantuan, Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih
dahulu sebelum membuat perkara lain.
Selain dikenali sebagai seorang anak
yang taat kepada ibunya. Uwais juga sangat taat melakukan ibadah, beliau seringkali berpuasa
dan malam hari masanya terisi dengan ibadah solat-solat sunat dan tahajud
kepada Allah SWT.
Rasulullah ﷺ pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a.
dan Sayyidina Ali KaramAllahu wajhah (k.w.): “Akan lahir di
kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni
dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan
datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu,
carilah dia. kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu
berdua.”
Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada
Rasulullah S.A.W: “Apakah yang
patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”
Rasulullah ﷺ menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah
agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”
Memang benarlah kata-kata Rasulullah ﷺUwais al-Qarni akhirnya
muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Setelah puas menunggu dan
mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya mereka
bertemu juga dengan Uwais al-Qarni .
Jika dilihat dari
pandangan mata kasar orang
biasa, Uwais al-Qarni tiada ciri-ciri istimewa kerana dari pandangan luaran
beliau seperti orang yang tidak sempurna akal dan dianggap sebagai seorang yang kurang waras,
tetapi beliau ada sesuatu yang kita tidak ketahui..
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya bertompok
putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Beliau berpenyakit sopak sejak
dilahirkan dan bapanya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi.
Walaupun beliau seorang berpenyakit sopak, beliau adalah seorang yang soleh
yang amat mengambil berat tentang ibunya dan beliau begitu tekun untuk
mendapatkan keredhaan ibunya dan setia menjaga ibunya yang sudah uzur dan
lumpuh sampai beliau dewasa.Ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan
haji di Makkah. Namun dengan kudrat yang sebegitu,ibu Uwais tidak mampu untuk ke Makkah berjalan seorang
diri.Lalu dia mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan
sesuatu agar dia boleh dibawa ke Makkah menunaikan haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari
perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi
menunaikan haji dari Yaman ke Makkah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang
dipasang di atasnya ‘Haudat’ iaitu sebuah rumah kecil yang
diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun
harganya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan yang
sedemikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar
sewa.
Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin tua dan uzur
berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi
akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”
Uwais mendapat suatu ilham.Dia membeli seekor anak lembu yang baru
lahir dan sudah habis menyusu.Beliau membuat sebuah pondok (rumah kecil) di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (beliau buat pondok untuk lembu itu di atas bukit).Pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke
atas ‘Tilal’ dan pada pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun
dari ‘Tilal’ tersebut untuk diberi makan.Itulah yang
dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi
bukit tempat dia memberi lembu itu makan.
Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau
kurang waras.Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit,
kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun
bukit.Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya,Uwais seorang yang bijak.
Lembu yang asalnya hanya 20 kilogram,selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg.Otot-otot tangan dan
badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat
100 kilogram turun dan naik bukit
setiap hari.Semua ini dilakukan nya sebagai persediaan untuk dia membawa ibunya menunaikan haji.Selepas lapan bulan,apabila sampai musim haji,dia membawa ibunya mengerjakan
haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Makkah dengan kedua
tangannya.Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air,roti dan sebagainya.Lembu yang beratnya 100 kilogram boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan sekitar 50 kilogram.Beliau mendukung dan memangku ibunya dengan kedua tangannya
dari Yaman ke Makkah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan
senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang
semula ke Yaman dari Makkah.
Setelah pulang semula ke Yaman,ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada
di Mekah?”
Uwais menjawab: “Saya berdoa
minta supaya Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa ibu.”
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana
pula dengan dosa kamu?”
Uwais menjawab: “Dengan
terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka
saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan
supaya engkau berdoa agar Allah SWT hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.”
Uwais berkata: “Saya
keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian
Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau ingin
masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau
berdoa.”
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa.
Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah SWT
menyembuhkan tompok putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Namun kerana beliau takut masih ada dosa pada dirinya, beliau
berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana
ibuku, aku berdoa hilangkan yang tompok putih pada badanku ini melainkan
tinggalkanlah sedikit.”
Maka, Allah SWT segera memakbulkan
doanya dan menghilangkan penyakit sopak di seluruh badannya kecuali
meninggalkan setompok sebesar duit
syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana
permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah.Dan tanda itulah yang disebutkan
oleh Rasulullahﷺ kepada
Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali untuk mengenali Uwais al-Qarni.
Disebut Rasulullah ﷺ kepada Sayyidina Umar
dan Sayyidina Ali: “Tandanya akan kamu
nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa
dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan
kesemua permintaan ibunya. Selepas ibunya meninggal, Uwais menjadi seorang
yang soleh dan ditinggikan martabatnya di
sisi Allah sehingga dia menjadi seorang yang doanya paling makbul.
Apabila Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh
Rasulullah ﷺ, mereka berdua pun meminta supaya Uwais mendoakan supaya dosa mereka
diampunkan Allah SWT.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau
berkata: “Aku ini datang dari Yaman
ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah ﷺ kepada kamu iaitu supaya
kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Sayyidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah,
bertanya kepadanya: “Anda hendak
pergi ke mana?”
Uwais menjawab: "Kufah"
Sayyidina Umar bertanya lagi: “Mahukah
aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?”
Uwais menjawab: “Berada di
tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya.
Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.
Firman Allah SWT :
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟
إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
“Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya
tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Isra’, ayat 23)
No comments:
Post a Comment